Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Cadangan wujudkan jabatan kaunseling

Cadangan wujudkan jabatan kaunseling

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang menubuhkan Jabatan Kaunseling bagi menjadikan bidang kaunseling di negara ini lebih berstruktur dan profesional.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pelan strategik penubuhan tersebut akan dirangka dalam tempoh terdekat ini sebelum diserahkan kepada Kabinet.

Bagaimanapun tegas beliau, untuk menjayakan penubuhan tersebut, para pengamal kaunseling tempatan perlu berkemahiran, berdaftar dan memiliki Sijil Perakuan Amalan yang sah dengan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM).

"Menerusi penubuhan Jabatan Kaunseling, kita akan dapat berkumpul di bawah satu bumbung mengatur pelan strategik bagi memantapkan perkhidmatan dan meningkatkan tahap profesionalisme kaunseling di negara ini.

"Ini memandangkan bidang kaunseling dan kaunselor memainkan peranan penting dan kritikal dalam pembangunan sosial negara dan mereka ini perlu diiktiraf.

"Tetapi saya masih tidak berpuas hati dengan pendaftaran di kalangan pengamal kaunseling di negara ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kaunseling 2011 anjuran Persatuan Kaunselor Malaysia (Perkama) di sini hari ini.

Shahrizat berkata, sehingga kini hanya terdapat 2,194 kaunselor yang berdaftar dengan sejumlah 1,595 kaunselor lagi memiliki Sijil Perakuan Amalan sedangkan kecekapan para kaunselor adalah mustahak mengikut Akta Kaunselor 1998.


Dianggarkan terdapat lebih 7,000 lepasan ijazah, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang kaunseling yang masih belum mendaftar di negara ini.

Terdahulu dalam ucapannya Shahrizat berkata, kaunseling amat penting untuk mengembalikan aspek kemanusiaan memandangkan bidang tersebut melibatkan proses mental, pemikiran dan tingkah laku manusia yang menjadi teras kepada kekuatan diri individu dan masyarakat.

Justeru kata beliau, sudah tiba masanya persepsi bahawa perkhidmatan kaunseling ditawarkan untuk mereka yang bermasalah dan mampu membayar perkhidmatannya diubah kerana ia adalah untuk segenap lapisan masyarakat.

Beliau seterusnya mempelawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkama untuk membantu usaha kementerian memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko tinggi yang memerlukan sokongan khususnya kaunseling.

Jelasnya, ia termasuk mengenal pasti jenis permasalahan dan ahli keluarga yang memerlukan khidmat sokongan mengikut keperluan.

Sumber: Utusan Malaysia

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .