Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Isu moral halang kawal AIDS

Isu moral halang kawal AIDS

SEJAK mula dikesan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 1981, kini kira-kira 34 juta orang di seluruh dunia disahkan menghidap HIV/AIDS.

Angka itu tidak statik. Ia akan terus meningkat dan terus mengancam kehidupan manusia di muka bumi jika langkah-langkah pencegahan lebih serius tidak diambil.

Penawar untuk wabak itu pula hingga hari ini masih belum ditemui. Satu sahaja cara untuk mengawalnya daripada terus merebak iaitu dengan mencegah.

Tetapi usaha untuk mencegah HIV/AIDS tidak datang secara percuma. Kosnya sangat tinggi. Ini menyebabkan banyak negara-negara miskin terutama negara-negara Afrika tidak berdaya untuk menyekat jangkitan wabak maut itu.

Selain itu, usaha mengawal wabak HIV/AIDS juga tidak terlepas daripada kontroversi kerana kumpulan yang paling terdedah ialah mereka yang terlibat dengan gejala-gejala yang sukar diterima oleh masyarakat.
Ini bermakna, untuk mencegah HIV/AIDS daripada terus merebak usaha dan perhatian perlu diberikan kepada golongan seperti homoseksual, pelacur dan penagih dadah.

Pada masyarakat, golongan itu dianggap jijik kerana mengamalkan kehidupan yang tidak bermoral.
Pada 10 Jun lalu, Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengarahkan supaya peruntukan yang besar disalurkan untuk merawat AIDS.

Tetapi ia turut menimbulkan bantahan dari Vatican dan beberapa negara Islam terutama yang membabitkan isu kondom dan gesaan supaya pelacur, gay dan penagih dadah dibantu.

BACA SELANJUTNYA...



Sidang Kemuncak tiga hari sempena ulang tahun ke-30 penemuan AIDS itu juga menetapkan sasaran supaya jumlah mereka yang mendapat rawatan retroviral ditingkatkan sekali ganda kepada 15 juta orang pada 2015.
Selain itu, ia juga mahukan supaya jangkitan AIDS dari ibu ke anak dihapuskan sepenuhnya menjelang tarikh tersebut.

"Kita mesti menang dalam peperangan menentang AIDS ini dan kita akan menang," kata Presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Joseph Deiss selepas deklarasi dipersetujui sebulat suara oleh ahli-ahli PBB.

Daripda 34 juta orang yang dijangkiti wabak maut itu di seluruh dunia, sebanyak 1.8 juta mati setiap tahun dan kira-kira 7,000 jangkitan baru dikesan setiap hari.

Sebab itu PBB mahu negara-negara anggotanya komited dalam mempercepatkan usaha bagi mencapai matlamat menggandakan angka mereka yang mendapat rawatan retroviral.

Matlamat mereka ialah memastikan 15 juta pada penderita HIV di negara-negara miskin mendapat dadah yang dapat membantu memanjangkan hayat mereka menjelang 2015.

Ketika ini PBB menganggarkan kira-kira 6.6 juta orang pembawa HIV mendapat rawatan itu.

Satu lagi, perkara penting yang diberi penegasan pada Sidang Kemuncak itu ialah menyekat jangkitan HIV dari ibu ke anak melalui langkah-langkah pencegahan yang lebih berkesan.

Namun cabaran bagi memastikan sasaran itu tercapai sudah tentu memerlukan sokongan komuniti antarabangsa melalui penyaluran dana untuk membantu golongan sasar.

Dianggarkan sebanyak AS$6 bilion diperlukan setahun untuk memastikan lagi sembilan juta yang menderita HIV/AIDS mendapat rawatan retroviral.

Tanpa komitmen terutama bantuan kewangan daripada komuniti antarabangsa bagi membantu negara-negara miskin, usaha untuk mengawal jangkitan wabak HIV/AIDS tidak akan berjaya.

Sehingga kini negara-negara maju terutamanya agak keberatan untuk menyatakan komitmen mereka ke arah itu.
Bagaimanapun Menteri Pembangunan Antarabangsa Britain, Stephen O'Brien berkata, ia tidak bermakna sasaran itu tidak mampu untuk dicapai.

"Kami mengakui ia mencabar dan dan ia sukar. Kita akan berhadapan dengan jalan yang payah. Tetapi ia sesuatu yang berbaloi dan kami tidak akan menguburkan cita-cita ini," katanya tanpa menyatakan komitmen kewangan dari negaranya dalam mencapai matlamat yang ditetapkan PBB itu.

Tetapi yang menimbulkan kontroversi ialah apabila saranan membabitkan penggunaan kondom secara meluas bagi mencegah jangkitan selain gesaan mempertingkatkan usaha membantu pelacur, gay dan penagih dadah.
Ia mengundang perdebatan hebat sepanjang perundingan bagi mencapai kata sepakat dengan bantahan keras datang dari Vatican dan beberapa negara Islam seperti Iran.

Dengan mengenepikan soal moral gesaan PBB itu menekankan akan penggunaan kondom secata betul dan konsisten.

"Amat penting untuk dinyatakan secara jelas bahawa deklarasi ini merujuk kepada kumpulan seperti lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki, pekerja seks dan pengguna dadah melalui suntikan," kata Menteri Kesihatan Brazil, Alexandre Padilha.

Kata Padilha, hak golongan pengamal seks sejenis juga perlu dipertahankan walaupun pada masa sama jangkitan HIV/AIDS perlu dicegah.

Delegasi Vatican bagaimanapun membantah idea itu termasuk menentang gesaan menggunakan kondom secara meluas.

"Ini akan memberi gambaran bahawa tingkah laku tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral yang tertentu diterima," kata wakil Vatican, Jane Adolthe.

Katanya, ajaran Kristian tidak memperakukan penggunaan kondom sebagai salah satu cara untuk mencegah AIDS dan HIV.

Pemangku Menteri Kesihatan Iran, Mohammad Hossein Niknam pula berkata, negaranya tidak akan tunduk kepada keputusan Sidang Kemuncak itu yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Syria pula mahu rakyatnya menentukan sama ada kumpulan yang terdedah kepada gejala HIV/AIDS itu perlu dibantu atau tidak.

Sementara pakat AIDS PBB pula berkata Sidang Kemuncak itu akan membantu golongan tersebut berhadapan dengan halangan sosial dan agama terutama dalam isu penggunaan kondom yang didapati antara langkah berkesan untuk mengawal penularan HIV/AIDS.

Sumber: Utusan Malaysia.

 

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .