Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

NUR DI HUJUNG JALAN

NUR DI HUJUNG JALAN;
SIKAP KITA KEPADA REMAJA TERLANJUR
http://cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com/




Larangan Berdua-duaan



Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Ibnu Abbas r.a, ia berkata Rasulluah SAW
telah bersabda;

“Janganlah seorang lelaki bersunyi-sunyian dengan seorang perempuan kecuali bersamanya
seorang mahramnya dan janganlah seorang perempuan berpergian kecuali dengan
mahramnya”.

Hadith yang diriwayatkan oleh at-Thabrani daripada Buraidah , ia berkata, Rasululluah SAW
bersabda:

“Janganlah seorang lelaki bersunyi-sunyian dengan seorang perempuan sebab sesungguhnya
syaitan itu akan menjadi yang ketiganya”.

“Janganlah kamu masuk ke rumah tempat para perempuan walaupun mereka itu isteri anak
(menantu) atau isteri saudara (ipar)

(Riwayat at-Thabarani dari Uqbah b Amir)


Selami Perasaan Mereka

Mari kita cuba selami perasaan anak-anak remaja yang telah terlanjur. Mereka ini janganlah hendaknya kita terus menghukumi mereka dan dihina sebagai ahli maksiat. Jika terus dihukum, ditakuti hukuman itu akan kembali kepada kita.

Bimbang anak kita pula akan menjadi seperti mereka. Namun katakanlah,”AKu berlindung dengan Allah daripada smeua itu”.

Ertinya kita memohon pertolongan dan perlindungan Allah bagi kita dan sekalian ahli keluarga kita daripada maksiat.

Tidak selamanya anak-anak remaja terus melakukan zina dan maksiat. Suatu masa nanti,apabila taufik hidayah Allah hadir di hati mereka, mereka akan sedar. InsyaAllah mereka akan sedar bahawa berzina itu adalah suatu perkara yang amat dimurkai Allah. Apabila dating taufik fan hidayah, tiada siapa yang boleh menahan mereka daripada keinsafan.

TIDAK SEDAR

Anak-anak remaja yang terlanjur ini mungkin tidak sedar ketika mereka melakukan zina. Jika pun mereka sedar, mereka tidak mempunyai cukup kekuatan untuk menghindarinya. Ini mungkin factor persekitaran yang sangat rencam yang bias menggugah keimanan.

Amatlah malang bagi masyarakat yang mengakui sebagai pengikut Nabi akhir zaman yang bersifat amat pemaaf, andai tiada ruang belas kasihan dan kemaafan bagi anak-anak yang telah terlanjur ini.

Anak-anak remaja yang telah terlanjur ini, harus diberikan kasih saying dan perlindungan. Jika selama ini, ibubapa tidak memeberikan perhatian dan kasih saying kepada mereka, inilah masa untuk menebus kesilapan itu.

Ibubapa dan masyarakat harus berganding bahu membantu remaja ini kembali ke pangkal jalan.

Kepada ibubapa yang anak mereka telah terlanjur, terimalah anak-anak ini semula. Kerana mungkin anak-anak ini terlanjur akibat daripada kelalaian diri kita sendiri.

Lalai dalam memberikan pendidikan dan penghayatan kehidupan beragama, terabai dari segi perhatian dan kasih saying.

Usahlah dihirau pada cercaan dan hinaan orang tentang anak yang rosak akhlaknya. Yang penting, sebagai ibubapa dan ahli keluarga yang prihatin, kita telah memaksimumkan sepenuh pendidikan, perhatian, ilmu bantu hidup dan bimbingan pada anak-anak.

Berikanlah harapan yang positif kepada remaja terlanjur ini untuk bertaubat. Seterusnya anak-anak ini ingin membuat anjakan paradigm yang lebih positif.

Tiupkan semangat pada anak-anak ini untuk pulih. Pulih dari trauma mereka. Pulih dari masalah keterlanjuran mereka. Pulih dari masalah ketagihan mereka terhadap perlakuan zina.

Manakala bagi remaja yang telah terlanjur, nur di sana masih terbuka untukmu. Pintau taubat sentiasa terbuka luas selagi nyawa belum di kerongkongan. Pada entry sebelum ini, saya ada catatkan tentang cara menunaikan Solat Sunat Taubat. Mungkin kita boleh rujuk kembali entry tersebut di sini, klik sini.

Apa yang penting, taufik hidayah itu perlu dicari. Kekuatan perlu dikutip. Kekuatan itu perlu sentiasa disuburkan, umpama makanan yang sering kita ambil setiap hari.

Mungkin kesilapan yang terjadi pada mereka ini menjadikan mereka lebih baik dalam pengurusan diri untuk serius beribadah kepada Allah.

Di sini juga, saya ingin selitkan satu kisah benar, luahan hati anak luar nikah. Sumber kisah ini dicatatkan di iluvislam.com. Semoga kita mengambil pengajarannya. 

Dedikasi khas buat insan yang bernama ibu,yang belum pernah ku cium manja dahinya,belum pernahpun kulihat wajahnya walau sekali cuma.

Dedikasi khas untuk masyarakat agar memahami dilema dan perasaan anak yang tak berbapa,hentikan membuat spekulasi dan pandangan negatif terhadap anak luar nikah.

Dedikasi khas buat remaja Adam dan Hawa yang sedang enak diburu dengan perasaan cinta sementara, membiar nafsu merajai hati,membuang ketepi sebab dan akibat hanya kerana sedetik kepuasan yang tak kekal lama; sementara cuma...

Kutiplah sisa-sisa pengalamanku ini sebagai pengajaran. Bimbang mendung semalam akan berulang.


*********


Tatkala awan kelabu mula mundur untuk pulang ke kamar peraduan,sepasang pipit comel masih menari mengikut lagu hatinya. Kelihatan bayu malam seakan tidak sabar-sabar untuk keluar berjalan. Iman Nadrah masih leka dibelai angin petang yang berpuput lembut menghempas pipinya. Seketika,tudung biru yang dipakainya menari mengikut rentak angin. Sepasang matanya masih tak berkedip memandang ke arah langit. Ya,hidup ini umpama langit, bisik hatinya. Langit tak selalunya cerah. Dan dia akur andai hidup ini tak akan selalunya indah. Sejenak, mindanya menayangkan kembali video rakaman hidupnya lima tahun lepas. 

“Iman,asal nama ayah kau Abdullah? Bukan ke orang panggil ayah kau Pak Leman,” tanya Badrul.

”Ye lah iman. Asal ek? Entah-entah kau bukan anak Pak Leman,” ujar Rizal dalam nada menyindir diiringi gelak tawa teman-temannya. Saat itu,Iman cuba memekakkan telinga. Dia tepu,jemu dengan sindiran teman-temannya terutama Rizal. Persoalan mereka sebentar tadi dibiarkan tergantung tanpa jawapan. Lantas, Iman meneruskan latihan matematik yang diberikan oleh cikgu Latifah. Di satu sudut di hujung kamarnya, iman diam membatu. Dirinya seakan mengiyakan persoalan Rizal. Walaupun dia masih belum sepenuhnya mengerti akan semua itu,tapi naluri ingin tahu yang menjalar dalam hatinya mendesak dia untuk bertanya pada ayahnya segera. Lantas,dia menuju ke arah Pak Leman yang asyik membelek akhbar.

“Ayah, tadi ada kawan Iman tanya kenapa dalam buku Iman nama Iman Nadrah binti Abdullah bukan Sulaiman? Bukan ke nama sebenar ayah Sulaiman?”

Seketika Mak Leha berhenti melipat kain. Berdebar menanti reaksi dan tindakan suaminya. ”Hmm,Iman,kawan-kawan Iman mungkin tak tahu kalau ayah Iman ada dua nama.”

Tersenyum Mak Leha.Lega.

”Boleh ke seorang tu ada dua nama? Iman masih belum berpuas hati.

”Hmm,boleh. Mari duduk atas riba ayah sayang,bacakan surat khabar ni untuk ayah,Iman kan dah pandai membaca,mata ayah pedih la,” pujuk Pak Leman untuk mengalihkan perhatian Iman. Pak Leman mengeluh kecil. Bimbang rahsia akan terbongkar,tapi sampai bila? Iman berhak untuk mengetahuinya. Mungkin belum tiba masanya,fikir Pak Leman.

”Iman, Iman anak ayah sayang.”

Tak bersahut.

”Iman dah tidur bang,” sampuk Mak Leha.

Sekejapnya dia lena,ujar Pak Leman perlahan lantas mendukung Iman ke kamarnya.

“Iman!Iman! Isyh,mengelamun pula budak ni,”leter Mak Leha. Lantas Mak Leha menepuk lembut peha anak gadisnya.

”Ya,mak!” serta-merta dia tersedar. Kembali pulang ke alam realiti setelah sejenak di dunia fantasi.

”Dah maghrib ni,tak baik kalau masih diluar, jom masuk!” Lantas tanpa sepatah kalam bicara,Iman menurut kata ibunya.

Dalam menongkah arus kehidupan di dunia yang serba mencabar,acap benar ujian bertandang tanpa diundang. Untuk itu,kita perlu sentiasa bersedia,iman kalau sekadar setebal kulit bawang,mana mungkin dapat digapai walau segenggam tabah. Iman akur,dia perlu tahu ynag dirinya perlu menjadi seperti pohon,tetap menghasilkan buah walau dibaling dengan batu. Dan dia cuba menghadiahkan segaris senyuman pada teman-teman yang masih menghinanya,namun dia tidak setegar itu. Mereka perlu tahu, disebalik senyum palsu itu,hati Iman terluka.

Dia tidak mahu membebankan hati kedua orang tuanya. Kerana Iman sedar,bukan setitis pengorbanan dan kasih sayang Pak Leman dan Mak Leha kepadanya. Iman umpama sebutir mutiara yng bersinar dalam keluarganya.I manlah harapan mereka, Imanlah jantung hati mereka kerana Iman satu-satunya anak mereka. Daun-daun kering yang berguguran walaupan sehelai, semuanya berlaku dengan izin Allah. Suasana nyaman itu agak tenang dan mendamaikan. Namun Iman merasakan hatinya membahang. Memikirkan persoalan yang entahkah wujud atupun tidak jawapannya. Remaja asyik berbicara tentang cinta. Bagi mereka cinta satu kemestian. Melihat teman-teman umpama belangkas kehulur ke hilir demi sesaat kepuasan? Adakah menunggu natijah dan bala baru merasakan keinsafan? Umur baru setahun jagung, hingus masih dilap ibu, sudah pandai bermain api cinta. Apa salah ke,kolot ke mereka yang tidak bercinta?

Hidup dalam kelompok masyarakat yang kebejatan akhlak, Iman harus bijak menilai sesuatu. Manusia memang susah menerima nasihat. Pantang ditegur,mulalah mencerakinkan satu–satu persatu kelemahan orang itu demi menunjukkan bukan dia sahaja yang melakukan kesalahan. Memang benar andai setiap manusia tidak pernah terlepas daripada menelan duri kesilapan dalam kamus hidup. Kalaulah manusia memiliki prinsip seperti padi, makin berisi makin tunduk, pasti semua masalah dapat diuraikan kekusutannya. 


“Eh!Iman, kau tak payah la susah-suasah nak nasihat aku. Aku tahulah jaga diri aku. Apa kau bimbang aku jadi macam mak kau?” Ujar Lina dalam nada menyindir.

”Mak aku? Kenapa dengan mak aku?” Soal Iman kebingungan.

”Eleh buat-buat tak tahu! Dasar anak luar nikah!”

Pang! Satu tamparan hebat hadiah daripada Iman atas ucapan Lina.

”Soal maruah diri aku, kau jangan nak main-main! Apa,kau ingat kau..."

Iman tak dapat menahan kata-katanya. Dia sebak lantas mengambil beg dan terus pulang.

Diganggu Rizal


Iman masih dibayangi dengan peristiwa tiga hari lepas. Hatinya tidak tenang. Jiwanya resah. Selesai subjek Sejarah, Iman pulang agak lewat sedikit kerana dia perlu membersihkan kelas. Bimbang dia terlewat kerana jarak rumahnya dengan sekolah bukanlah dekat. Ketika asyik mengemas meja guru,dia terasa bahunya dipegang oleh tangan seseorang. Lantas sepantas kilat dia memalingkan badannya. Tangan itu menjalar ke pipinya. Iman cuba untuk menjerit,namun terhalang seakan kerongkongnya tersumbat.

”Ala,rilek Iman.Ini ringan-ringan je.”

”Binatang kau!” Iman meludah tepat ke arah muka lelaki tersebut lantas bergegas mengambil beg untuk pulang. Kerja membersih kelas dibiarkan separuh jalan. Sambil mengesat mukanya dengan tisu yang tersedia diatas meja guru, dia menjerit:

”Eh anak luar nikah! Sedar diri sikit! Kau tu bukannya suci sangat!”

Persoalan Terungkai


Dia masih lagi trauma dengan kalimah anak luar nikah! Seakan terngiang-ngiang kalimah itu dicuping telinganya. Baru tadi dia memastikan nama ibu pada sijil kelahirannya berbeza dengan nama yang tertera pada kad pengenalan Mak Leha. Tahulah dia bila dipastikan ayahnya yang bernama Abdullah, segalanya terjawab. Benarlah anggapan dan omelan teman-temannya. Kebetulan Pak Leman baru memasuki rumah seusai berjemaah di surau. Lantas Iman menuju ke arah Pak Leman dan memeluk ayahnya seeratnya. Mak Leha bergegas ke ruang tamu tatkala mendengar tangisan anak emas mereka.

Iman menatap mata ayahnya. ”Ayah,jujurlah dengan Iman.Siapa Iman sebenarnya ayah?Katakanlah ayah,Iman bukan anak luar nikah! Iman bukan anak pungut ayah.”

Pak Leman beristighfar. Mengucap. Tergamam. Mak Leha duduk di atas kerusi .Sebak.Terlalu sedih. Hatinya masih belum bersedia untuk kehilangan Iman. Iman seakan orang yang terkena histeria. Masih terkejut dengan rahsia yang baru terbongkar.

”Jadi,Rizal tu……,dan lebih tepat penghulu kampung itu adalah...."

Pak Leman menggangguk walaupaun ayat itu tidak penuh kerana dia seakan dapat membaca fikiran anaknya itu.

Iman masih sedih. Dia masih belum dapat melelapkan mata walau jam telah menunjukkan tepat jam tiga pagi. Persoalannya telah terjawab. Namun dia hilang kepercayaan kepada penghulu. Dimana sikap kepimpinan seorang ketua andai dia membuang cucunya sendiri. Inilah masyarakat yang mengheret sama anak yang tak berdosa ke lembah kemaksiatan bersama ibu bapa mereka. Meskipun mereka semua tahu,andai diberi pilihan,lebih baik tiada daripada ada. Lahir daripada rahim ibu yang memperjudikan hidup dengan setitis nafsu bersama kaum Adam di lembah hina. Namun Iman nekad,walau apapun terjadi,dia tak akan meninggalkan Pak Leman dan Mak Leha meskipun Iman tahu siapa keluarganya yang sebenarnya.

Dua minggu berlalu,ketika kelas matematik riuh rendah apabila seorang anggota polis datang mengetuk pintu. Selepas berbicara dengan cikgu Latifah,kelihatan penghulu yang datang dari arah pejabat terus menerkam ke arah Rizal kerana tuduhan memperkosa Lina,teman sekelasnya. Iman menatap sayu mata insan yang sepatutnya tapi tak selayaknya dipanggil datuk. Dia sedar,semakin tinggi kemajuan,makin lupus ketamadunan .Kuasa dan pangkat menjadi manusia lupa diri. Lantas demi menjaga nama baik keturunannya,Iman Nadrah “dijual” pada pasangan yang berhati mulia untuk menerimanya. Meskipun seakan tidak percaya, Rizal adalah adik kandung pada insan yang telah meminjamkan rahimnya untuk melahirka aku ke dunia. Tidak hairanlah ada yang bertanya,adakah mereka kembar? Rupanya ada rahsia yang tersirat disebalik iras wajah yang tersurat. Dan mereka yang telah menjadikanya telah dihukum buang daerah hampir 15 tahun lepas dan tak dibenarkan pulang ke kampung ini.

Hari Ini..


Ya,Rizal kita tetap saudara. Apa yang terjadi kepada Lina dan Rizal benar-benar memberi keinsafan kepada Iman dan teman-temannya. Pasti ada hikmah disebalik ujian. Jangan tika ditelus duga kita goyah, tika diberi nikmat kita alpa. Dan Iman perlu untuk menghadapi kenyataan siapa dirinya sebenarnya kerana dia yakin dengan firman Allah di dalam surah Al-furqan ayat ke-25:

"Dialah yang menjadikan manusia dari setitis air mani yang hina dan menciptakan hubungan keturunan (nasab) dan perkahwinan."

Pada insan yang tak layak ku gelar bapa,meninggalkan aku tanpa bicara,moga hidayah Allah membimbingmu sebelum maut menjemput.

Pada ibu yang tak kutahu dimana berada,meskipun payah menerima siapa aku,yang dilahirkan tanpa diundang,terima kasih.

Andai kalian tahu,betapa deritanya aku yang dilahirkan dari setitik nafsumu yang diladungi dosa kemaksiatan, pasti kalian masih tidak mampu untuk menjernihkan kembali kolam hati yang berlumpur kesedihan.

Dan andai diberi kesempatan,dia ingin bersalam dan menzahirkan segalur penghargaan pada seorang insan yang sudi menerima kehadirannya selama 9 bulan di dalam laman rahim seorang wanita.

Dan dia ingin berjumpa dengan lelaki itu,menitipkan kalam keinsafan,sebelum pulang pada Ilahi,biarlah setiap denyut nadi dalam redha dan keampunanNya.

Biarlah yang lepas itu adalah sejarah. Esok adalah masa depan.

Ya allah,kau ampunilah dosa kedua ibu bapaku,kasihi dan terimalah taubat mereka kerana sesungguhnya kau maha pengampun dan penyayang. Aamin.

 
 

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .