Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Pendidikan dalam perancangan keluarga


-->Pendidikan dalam perancangan keluarga
http://www.cikgukaunseling.com/






Dalam kebudayaan Timur, masih ramai ibubapa yang menganggap anak-anak adalah milik orang tua. Khalil Gibran seorang sasterawan menulis;

“Anak hanya titipan Sang Pencipta”.

Anak itu bukan ditentukan oleh tangan orang tuanya. Anak-anak berhak memiliki kehidupannya sendiri. Namun sebagai orang tua, sebagai ibubapa, tentu sahaja peranan ibubapa sangat besar ertinya.

Sewaktu kecil dahulu, saya selalu mendengar orang-orang tua berkata,”Menjadi orang itu mudah. Sebab ‘orang-orang’ yang berdiri tegak di tengah sawah itu juga dipanggil orang. Tetapi menjadi manusia itu, kita mesti hidup mengikut aturan. Agama dijunjung, diamal dan budaya dikendung dan dikelek”.

Kata-kata itu dilontarkan sewaktu saya bertanya kepada pengasuh saya, “Apa itu?” Sambil menunjukkan ke tengah sawah yang tidaklah seluas seperti di Negeri Jelapang Padi.

Dalam soal pendidikan anak-anak, terdapat 4 pendidik yang sangat mempengaruhi mutu didikan anak-anak. Keempat-empat pendidik ini harus berganding bahu bertindak secara sepadu menyokong antara satu sama lain untuk melakar kejayaan pendidikan anak-anak.

Pendidik yang empat itu ialah:

1.       Ibu Bapa

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasululluah SAW bersabda;
“Tidak ada seorang pun dilahirkan kecuali dalam keadaan fitrah (Suci). Kedua orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, atau Nasrani atau Majusi”
(Riwayat Bukhari)

2.       Guru-guru

Untuk mendalami selok belok ilmu pengetahuan agama(Ilmu Fardhu Ain) dan kemahiran hidup (Ilmu fardhu Kifayah), kita memerlukan bimbingan daripada guru-guru.

3.       Rakan Taulan

Pergaulan banyak mempengaruhi anak-anak hinggakan jika ingin tahu perangai seseorang, maka lihat sahaja tingkah-laku kawan-kawan rapatnya.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Manusia dipandang atas perjalanan kawannya. Maka hendaklah seseorang kamu memilih siapa yang perlu dia berkawan dengannya.”

(Riwayat Tirmizi)

4.       Persekitaran

Persekitaran lingkungan dan kejiranan.

Sifat anak-anak yang mudah meniru dan mengambil contoh daripada kelakuan yang mereka lihat menjadikan mereka mudah terpengaruh dnegan keadaan sekeliling. Contohnya, anak-anak mudah mudah dipengaruhi oleh Suasana dalam rumahtangga dan persekitaran kejiranan kita.

Faktor media massa mutakhir ini, yang menjadi bahan bacaan, tontonan dan pendengaran anak-anak semakin mempengaruhi perkembangan emosi, pembelajaran dan gaya anak-anak masakini.

Di antara keempat-empat pendidik ini, ibubapalah yang berperanan penting dan paling berpengaruh terhadap corak perkembangan anak-anak mereka.

Firman Allah SWT, maksudnya:

“Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka….”.

(At –Tahrim: 6)

BUKAN SATU PILIHAN TETAPI KEWAJIPAN

Menyorot kepada perkara-perkara di atas, tugas mendidik anak-anak bukanlah lagi suatu pilihan tetapi suatu kewajiapan kepada para ibubapa. Pendidikan bukanlah hadiah daripada ibubapa kepada anak-anak tetapi amanah Allah kepada orang tua anak-anak.

Oleh hal yeng demikian, apabila ibubapa memahami bahawa besarnya impak lingkungan rumah dalam perkembangan anak-anak, maka ibubapa harus mempersiapkan anak-anak dan melindunginya dariapda sebarang bentuk kehinaan dan kehancuran.

Rumah adalah institusi pendidikan yang utama dan pertama sekali bagi setiap anak-anak. Persiapan benteng haruslah dilaksanakan dengan kawalan pada setiap sudut benteng dari diterobos oleh anasir yang merosakkan pembentukan murni jiwa tauhidic anak-anak.

Lihat petani yang sentiasa mencabut duri pada tanaman asing yang sentiasa  mengganggu di antara tanaman yang ditanam dan dalam masa yang sama petani perlu sentiasa membuang benah yang menjadi musuh tanaman.

Kenapa petani itu perlu buat begitu?

Ya, pastinya petani itu mahu tanaman tersebut dapat tumbuh dengan subur dan berkembang dengan baik. Begitulah tamsilannya peranan ibubapa terhadap pendidikan anak-anak.

Kisah Abdul Malik Bin Marwan sewaktu menghantar anaknya kepada pendidik anaknya, beliau pernah berkata kepada pendidik anaknya, katanya;

“Ajarkanlah mereka kebenaran, sebagaimana engkau mengajar mereka membaca Al Quran, sentiasa biasakan mereka dengan akhlak yang baik, bicarakan kepada mereka dari syair-syair supaya mereka berani dan bersemangat, biasakan mereka duduk bersama orang-orang yang mulia dan ahli ilmu pengetahuan, dan jauhkanlah mereka dari bercampur baur dengan orang yang rendah budinya, sebab mereka itulah orang-orang yang paling buruk kelakuannya. Hormatilah mereka di hadapan ramai, dan cela mereka secara rahsia. Dan Pukullah mereka jika mereka berdusta, kerana dusta itu menarik kepada maksiat, dan maksiat pula menarik kepada api neraka”.

Sikap salafussoleh ini terhadap pendidikan anak-anak wajar dicontohi oleh ibubapa. Tanggungjawab bagi melahirkan kejayaan pendidikan anak-anak, samada kejayaan yang cemerlang  dalam bidang akademik, kemantapan jatidiri dan sakhsiah serta kesimbangan emosi, seharusnya tidak diserahkan secara bulat-bulat kepada para cikgu dan sekolah sahaja.

Mengikut pandangan ahli psikologi, kanak-kanak dibesarkan mengikut di mana suasana anak itu berada.

Jika anak dibesarkan dengan celaan, dia belajar memaki.
Jika anak dibesarkan dengan permusuhan, dia belajar berkelahi.
Jika anak dibesarkan dengan cemuhan, dia belajar rendah diri.
Jika anak dibesarkan dengan penghinaan, dia belajar menyesali diri.
Jika anak dibesarkan dengan toleransi, dia belajar menahan diri.
Jika anak dibesarkan dengan dorongan, dia belajar percaya diri.
Jika anak dibesarkan dengan celaan, dia belajar memaki.
Jika anak dibesarkan dengan pujian, dia belajar menghargai.
Jika anak dibesarkan dengan perilaku yang baik, dia belajar keadilan.
Jika anak dibesarkan dengan rasa aman, dia belajar menaruh kepercayaan.
Jika anak dibesarkan dengan dokongan, dia belajar menyayangi dirinya.
Jika anak dibesarkan dengan kasih sayang dan persahabatan, dia belajar menemukan cinta dalam kehidupan…
oleh Dorothy Law Notle


Proses pendidikan anak-anak perlu sentiasa berterusan tanpa mengira waktu dan tempat. Pendekatan holistic dan bersepadu dari semua pihak diperlukan bagi memastikan acuan yang kita impikan menjadi kenyataan. 

Semua itu juga memerlukan ilmu kemahiran, ilmu tebat hidup, kerajinan, menjiwai fardhu Ain dan Fardhu Kifayah,  memerlukan kaedah pengajaran yang betul, prinsip pendidikan yang amali lagi sihat , insyaAllah lahirlah seperti kata pepatah Melayu,”Jika jatuh ke laut, menjadi pulau. Jatuh ke hutan menjadi lading”.

Walaupun yang terlibat dalam proses pendidikan anak-anak ini melibatkan banyak pihak, namun yang pastinya, di bahu bapalah sebagai ketua keluarga akan dipertanggungjawabkan memikul amanat Allah yang akan dihisab nanti.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .