Tips Pelajar Cemerlang 3: Tidak Ponteng Sekolah, Capai 13A
SEGALA puji dan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNYA hari ini kita rakyat Malaysia masih dapat mengecapi kehidupan yang aman damai dan sejahtera walapun negara ini mempunyai berbagai kaum, agama dan kebudayaan. Alhamdulillahirabbil a'lamin.
Selawat dan salam juga ke atas junjungan besar nabi kita Muhammad SAW, para ahli keluarganya, para sahabat dan para pejuang-pejuang Islam yang telah berjuang untuk mengeluarkan umat manusia daripada alam kegelapan (jahiliah) kepada alam yang penuh dengan nur ilmu pengetahuan sepertimana kita kecapi dan nikmati pada hari ini.
Pada entry ini, saya ingin memuat naik berita dari akhbar beberapa bulan dulu, untuk kita renungkan bersama. Kisah kejayaan para pelajar cemerlang di Malaysia sering dimuatkan di dada-dada akhbar selepas keputusan peperiksaan awam diumumkan. Semoga tips dan perkongsian rahsia kejayaan calon peperiksaan awam ini, diambil iktibar oleh para ramaja yang masih berada di bangku sekolah khususnya para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR, SPM, STPM atau STAM.
SUNGAI PETANI 11 Mac 2010-
Anak seorang pengurus syarikat pengiklanan akhbar, Beh Yuan Ye, 17, muncul antara pelajar terbaik Kedah apabila berjaya memperoleh 13A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.
Yuan Ye dari Taman Widuri di sini membuktikan usaha gigih, konsisten dan fokus mencapai sesuatu matlamat menjadi azimatnya untuk mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Pelajar lelaki Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sin Min itu memperoleh A+ dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Sains, Matematik Tambahan, Prinsip Perakaunan, Fizik, Kimia, Biologi, Bahasa Cina dan Kesusasteraan Cina.
Kata Yuan Ye, tumpuan penuh semasa belajar dan tidak sekali-kali ponteng sekolah adalah kunci kejayaan untuk mencapai cemerlang.
"Saya belajar secara fleksibel kerana tiada penetapan waktu atau tempoh tertentu ulang kaji penting.
"Tetapi yang paling utama adalah jangan ponteng kelas atau sekolah kerana kita akan ketinggalan subjek yang diajar guru pada hari itu," kata Yuan Ye yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu.
Dia ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2009 di Dewan SMJK Sin Min di sini hari ini.
Yuan Yee merupakan salah seorang daripada sembilan pelajar yang menduduki SPM 2009 di negeri ini berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi A+ dalam semua mata pelajaran diambil.
Pada tahun lalu, 30,726 calon dari sekolah kerajaan di negeri Kedah menduduki peperiksaan berkenaan.
Yuan Ye berkata, dia bersyukur dan berpuas hati dengan keputusan 13A+ tersebut kerana membuktikan segala susah payah dirinya sebelum ini membuahkan hasil.
Katanya, kejayaannya hasil dorongan ayah dan ibu serta guru yang banyak berkorban dan memberi sokongan untuknya berjaya.
"Saya berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan kelak," katanya.
Sementara itu, bapa Yuan Ye, Beh Ku Chai, 44, berkata, dia berbangga dengan kejayaan anaknya itu setelah dia berusaha gigih untuk cemerlang dalam bidang pelajaran.
"Dia tidak banyak menimbulkan masalah malah sentiasa menunjukkan semangat yang tinggi untuk berjaya dalam pelajaran," katanya.
SUMBER; UTUSAN MALAYSIA