Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Diwujudkan Elak Keciciran
KUCHING, 17 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan mewujudkan lebih banyak
Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di seluruh negara jika modul
sekolah pertama yang akan dilaksanakan di Kuala Lumpur itu berjaya, kata
Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan.
Beliau berkata sekolah yang akan dirasmikan bulan depan, itu diwujudkan
dengan hasrat memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak di
kawasan tumpuan Chow Kit, yang terbiar dan tidak mempunyai sijil
kelahiran hingga menjejas peluang mereka mendapat pendidikan.
"Sudah 70 orang anak-anak dari sekitar kawasan tersebut mendaftar.
Sekolah ini mempunyai modul khas melibatkan pendidikan rendah dan
menengah.
"Kementerian akan menyediakan guru untuk mengajar dengan kaedah baru
yang berbeza oleh kerana ini sekolah yang pertama seumpamanya," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan
Hari Malaysia di Kolej Komuniti Kuching, Petra Jaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata SBJK adalah antara perkara
dititik beratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 -
memberi peluang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia.
"Kita tidak mahu mereka mencari alasan untuk tidak belajar, kerajaan
menyediakan peluang pendidikan kepada semua, dan seperti dimuatkan dalam
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, kerajaan mementingkan pendidikan
kepada rakyat negara ini," katanya.
SBJK akan memulakan operasinya di bangunan lama Jabatan Pelajaran
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Raja Muda Abdul Aziz selepas
siap sepenuhnya dibina pada 17 April lepas.
Sementara itu, ditanya mengenai laporan akhbar tentang dakwaan guru
membuat pembayaran melalui orang tengah untuk tujuan pertukaran,
Kamalanathan berkata sebuah jawatankuasa khas telah diwujudkan bagi
menyiasat dakwaan tersebut.
Beliau berkata mengikut prosedur pertukaran guru, sebarang pertukaran
dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk keperluan
perkhidmatan, opsyen atau mata pelajaran dan kekosongan di negeri yang
dipohon.
Pada 13 Sept, Kementerian Pendidikan mengumumkan penubuhan jawatankuasa
khas berikutan laporan akhbar mengenai dakwaan di sebuah laman web
bahawa wujud pihak yang membuat pembayaran melalui orang tengah setelah
kecewa permohonan untuk pertukaran tidak berjaya.
-- BERNAMA
Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini
Home »
civil servant
,
Dasar Awam
,
Kisah Masyarakat
,
KPM
,
prihatin
,
sekolah
,
Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih
» Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Diwujudkan Elak Keciciran
Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Diwujudkan Elak Keciciran
Disclaimer
(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .
0 Comments:
Post a Comment