Penggabungan Kementerian Pelajaran
dan Pengajian Tinggi
Penggabungan dua kementerian; Gabung tindakan tepat - TPM
(Utusan Malaysia 17 Mei 2013)
Penggabungan dua kementerian baik untuk kelangsungan pendidikan: Idris
(Berita Harian, 16 Mei 2013)
SEREMBAN 16 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggabungkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu bumbung adalah satu keputusan tepat.
Kata Timbalan Perdana Menteri, pelantikan seorang Menteri Kedua juga melambangkan keprihatinan kepimpinan Perdana Menteri untuk melihat bidang pendidikan di negara ini dapat diurus dengan lebih cekap dan menyumbang secara lebih berkesan kepada kemajuan negara.
Muhyiddin juga berkata, beliau telah mendapat keizinan daripada Perdana Menteri supaya menggunakan nama Kementerian Pelajaran sahaja bagi penggabungan dua kementerian.
Menurutnya, sebelum ini, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi diumumkan sebagai Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi.
''Dengan penggabungan kedua-dua kementerian ini kita akan dapat melaksanakan dasar yang lebih seragam di semua peringkat pendidikan, di samping berkongsi sumber dan kepakaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melonjakkan lagi mutu pendidikan di negara kita.
''Usaha transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan digembleng secara lebih menyeluruh untuk menghasilkan satu lonjakan berganda dalam pendidikan negara," kata beliau ketika melancarkan sambutan Hari Guru kali ke-42 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini malam ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, P. Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.
Sambutan Hari Guru kali ke-42 tahun ini membawa tema, Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda, sekali gus mencerminkan harapan rakyat dalam melahirkan generasi masa depan yang lebih cemerlang di negara ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi berkata, setiap institusi pendidikan dalam negara ini perlu mewujudkan suasana yang kondusif untuk membolehkan murid daripada pelbagai latar kaum dan agama bergaul sesama mereka dengan lebih mesra dan akrab.
Sementara itu, Muhyiddin mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan keberanian guru di Lahad Datu, Sabah ketika berhadapan dengan situasi pertempuran serangan pengganas Kiram, baru-baru ini.
"Saya mengucapkan terima kasih terutamanya kepada Cikgu Saabi Hasin dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Buani Lahad Datu yang menjadikan rumahnya sebagai sekolah sementara untuk anak murid belajar dan membiayai pula perbelanjaan makan dan minum mereka.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Catherine Gonolon dari SK Fajar Harapan Lahad Datu yang sanggup berada dalam kawasan pertempuran dan mengajar murid dari sekolah berlainan," katanya di Stadium Tertutup Nilai, dekat sini malam tadi.
Justeru kata Muhyiddin, ini adalah contoh guru yang disanjung tinggi.
Penggabungan dua kementerian baik untuk kelangsungan pendidikan: Idris
(Berita Harian, 16 Mei 2013)
KUALA LUMPUR: Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan penggabungan dua kementerian di bawah satu nama sebagai amat baik dalam memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak di negara ini.
Katanya, pendidikan ialah asas kepada kesejahteraan rakyat dan penting bagi memastikan keseimbangan antara pencapaian akademik cemerlang dan pembentukan akhlak dalam kalangan pelajar.
Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I.
Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I, Datuk Mary Yap pula berkata beliau mahu memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, dilaksana dengan bekesan kerana pelan itu mengandungi pelbagai inisiatif untuk mentransformasikan sektor pendidikan agar pelajar dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
"Pendidikan merupakan keghairahan saya...justeru pelantikan ini yang memberi saya peluang untuk kembali ke bidang pendidikan adalah sesuatu yang saya tunggu," katanya.
"Ini satu cabaran yang berat tetapi saya teruja. Teruja bukan kerana mengenai saya, tetapi kerana negara, rakyat dan perkhidmatan," kata Yap yang dinamakan Tokoh Guru Kebangsaan pada 2012. \
Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II P. Kamalanathan pula berkata beliau sentiasa terbuka untuk menerima pendapat dan idea daripada semua pihak terutama golongan pendidik untuk terus memajukan bidang pendidikan.
Beliau bertekad memastikan objektif, visi dan misi yang ditetapkan Perdana Menteri akan terlaksana, khususnya dengan penggabungan dua kementerian utama pendidikan.
Kamalanathan juga berhasrat menjadikan 523 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil di seluruh negara sebagai denyut nadi masyarakat India yang berterusan.
"Tujuh buah lagi akan ditambah dan kita akan pastikan sekolah-sekolah ini terus diberi sokongan dan bantuan penuh pada masa akan datang," katanya.
Sumber; BERNAMA dan Berita Harian
Baik untuk kelangsungan pendidikan
KUALA LUMPUR 16 Mei - Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan penggabungan dua kementerian di bawah satu nama sebagai amat baik dalam memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak di negara ini.Katanya, pendidikan merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat dan penting bagi memastikan keseimbangan antara pencapaian akademik cemerlang dan pembentukan akhlak dalam kalangan pelajar.
"Kita mahu pastikan kelangsungan pendidikan bukan sahaja di peringkat bawah tetapi juga di peringkat universiti. Saya akan berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri untuk berbincang tugas selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di Istana Negara hari ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I.
Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I, Datuk Mary Yap Kain Ching, pula berkata beliau mahu memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, dilaksana dengan berkesan kerana pelan itu mengandungi pelbagai inisiatif untuk mentransformasikan sektor pendidikan agar pelajar dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
"Pendidikan merupakan keghairahan saya. Justeru pelantikan ini yang memberi saya peluang untuk kembali ke bidang pendidikan adalah sesuatu yang saya tunggu," katanya.
"Ini satu cabaran yang berat tetapi saya teruja. Teruja bukan kerana mengenai saya, tetapi kerana negara, rakyat dan perkhidmatan," kata Mary yang dinamakan Tokoh Guru Kebangsaan pada 2012.
Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, P. Kamalanathan, pula berkata beliau sentiasa terbuka untuk menerima pendapat dan idea daripada semua pihak terutama golongan pendidik untuk terus memajukan bidang pendidikan.
Beliau bertekad memastikan objektif, visi dan misi yang ditetapkan Perdana Menteri akan terlaksana, khususnya dengan penggabungan dua kementerian utama pendidikan.
Kamalanathan juga berhasrat menjadikan 523 sekolah jenis kebangsaan Tamil di seluruh negara sebagai denyut nadi masyarakat India yang berterusan.
"Tujuh buah lagi akan ditambah dan kita akan pastikan sekolah ini terus diberi sokongan dan bantuan penuh pada masa akan datang," katanya. — BERNAMA
0 Comments:
Post a Comment